Thursday 16 February 2012

KELEBIHAN DOA DAN ZIKIR DALAM KEHIDUPAN KITA

Manusia dilahirkan di dunia ini dibekalkan fitrah. Di samping itu, manusia juga membawa nafsu dan keinginan yang mewarnai corak kehidupannya. Namun, manusia tidak dibiarkan begitu sahaja. Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah tetap membimbing manusia dengan wahyu-Nya dan dikurniakan akal kepada manusia agar segala godaan hawa nafsu yang jahat, di samping pengaruh syaitan yang keji dapat dihadapi. Lalu, manusia mencapai tahap taqwa dan kebersihan hati.

     Hakikatnya, tidak semua manusia mendapat hidayah dan menerima bimbingan Allah. Tidak semua manusia mengetahui cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Agung. Justeru, ramai yang tersesat ke lembah kebodohan dan kenistaan hidup yang berpanjangan serta jiwa yang keluh kesah.

     Sesungguhnya keteguhan dan ketenangan jiwa itu dapat dicapai dengan aqidah yang kukuh, solat, zikir, doa, istighfar dan ibadah-ibadah yang dianjurkan Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya.

     Maka, marilah beramal dengan anjuran Islam yang sebenar, iaitu amalan yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Orang mukmin yang sejati tidak akan membuang masa, bahkan setiap detiknya akan diisi dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T. Bibirnya sentiasa basah dengan tahmid, takbir, dan tasbih kepada Rabbnya Yang Maha Mulia, kemudian dia berdoa dan mengharapkan keredhaan-Nya. Tiada suatupun yang lebih bererti dalam kehidupan seorang insan melainkan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

     Rasulullah S.A.W. bersabda, "Doa adalah senjata orang mukmin." Dalam kesempatan lain, baginda bersabda, " Doa adalah inti ibadah."
     Doa adalah bukti keyakinan pada eksistensi, kekuasaan dan ke-Maha Pemurah-an Allah S.W.T. Kerananya kehidupan seorang mukmin tidak pernah sepi daripada doa dan zikir. Bahkan dalam suasana perang sekalipun, doa dan zikir tetap dilantunkan.

     Melalui doa dan zikir , seseorang mukmin mampu mendapatkan Rabbnya, terhindar daripada pelbagai gangguan jahat, dan imannya semakin hidup, tenang dan bahagia. Jika demikian.....

     Masihkah ada keraguan untuk memperbanyakkan doa dan zikir? 

     Tepuk dada dan tanya iman!!!

No comments:

Post a Comment