Monday, 6 February 2012

KISAH NABI ADAM DAN HAWA: Kehidupan di Dunia

Mereka menjalani kehidupan suami isteri membanting tulang pada siang harinya dengan bercucuk tanam dan memternak binatang. Tatkala waktu senja melabuhkan tirainya, mereka pulang beristirehat di gua, yang menjadi tempat tinggal pada awal kehidupannya.

     Begitulah rutin kehidupan yang mereka lalui. Penuh kegembiraan dan kebahagiaan.

     Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Akhirnya peristiwa yang cukup membahagiakan kedua-duanya terjadi apabila Hawa mengandung zuriat mereka yang pertama. Selepas genap tempoh yang ditunggu, zuriat yang diidam-idamkan telah selamat dilahirkan.

Lahirnya pasangan kembar penyeri kehidupan
Seorang lelaki, seorang lagi perempuan
Habil dan Iqlima itulah nama pilihan
Menambah seri dalam kehidupan.

Setelah lahir pasangan kembar ittu, Hawa tidak lagi dapat menemani suaminya keluar membanting tulang mencari rezeki menampung kehidupan mereka. Tugas Hawa sudah beralih tumpuan. Dia mulai sibuk mengasuh dan menjaga anak-anaknya.

     Kini keluarlah Nabi Adam membanting tulang seorang diri, bercucuk tanam dan menggembala ternakan. Walaupun tugas mencari rezeki digalas pasa bahunya seorang, tetapi baginda bahagia dengan kehidupan yang dilalui. Menjelang petang Nabi Adam akan pulang mendapatkan isteri dan anak-anak tersayang. Apabila terpandang wajah mereka, hilanglah segala kepenatan yang dilalui sepanjang hari.

     Begitulah rutin kehidupan yang dilalui. Walaupun segalanya kekurangan jika dibandingkan dengan apa yang mereka kecapi semasa di syurga dahulu, mereka tetap bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Ilahi.

Setelah setahun berlalu, mereka dikejutkan sekali lagi dengan berita akan menerima kehadiran orang baru. Hawa disahkan hamil buat kali kedua. Menjelang haru dinantikan, Hwa sekali lagi melahirkan sepasang anak kembar, juga seorang lelaki dan seorang perempuan.

Gembiranya Adam bukan kepalang
Menerima anugerah yang dititipkan Tuhan
Bertambah tanggungan dalam kehidupan
Tetap bersyukur dengan apa yang dianugerahkan
Qabil dan Labuda itulah nama pilihan
Kembar kedua dalam kehidupan
Bertambah ramai zuriat keturunan
Mengimarahkan bumi matlamat kehidupan.

Sejak itu Nabi Adam bertambah gigih bekerja lagi menyara kehidupan apatah lagi bilangan ahli keluarga baginda semakin bertambah. Dengan keluarga yang semakin membesar, rasa ketakutan dan kesunyian yang sebelum ini dirasai semakin hilang.

KINI,
Kehidupan Adam dan Hawa sekeluarga semakin hari semakin berubah,
Kebahagian dan ketenteraman cukup dirasakan
Perselisihan faham tiada dalam kamus kehidupan
Membesarnya cahaya mata penuh kesempurnaan
Menginjak remaja penuh peralihan.

Sesuai dengan sifat dan fitrah kejadian, Nabi Adam mengamanahkan setiap anaknya dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sesuai dengan peredaran masa, usia dan persekitaran. Ini menjadikan mereka matang dalam mengemudi kehidupan.

     Anak-anak perempuan diamanahkan menolong ibunya, Hawa khususnya dalam hal-hal berkaitan rumah tangga. Sesuai dengan sifat kewanitaan yang Allah kurniakan. Manakala anak-anak lelaki diberikan tugas yang berbeza sesuai dengan watak dan kebolehan mereka. Sesuai dengan kewibawaan masing-masing.

Walaupun Qabil dan Habil bersaudara
Diasuh dan dididik ibu dan ayah yang sama
Terdapat perbezaan antara keduanya.
Qabil...
Walaupun yang paling tua,
Fizikalnya kecil dan tua pula.
Habil...
Walaupun lebih muda,
Miliki susuk besar, tegap dan kuat pula.

Qabil dengan sifatnya yang agak kasar diamanahkan Nabi Adam bertani, mencangkul tanah dan menebas hutan.Ini disebabkan ketiga-tiga unsur ini tidak memerlukan perasaan kejiwaan dan kasih sayang.

Manakala Habil yang menampakkan ciri-ciri yang halus, lemah lembut dan penuh kasih sayang, Nabi Adam menyerahkan tugas memelihara binatang ternakan iaitu kambing, ayam dam sapi. Binatang ternakan mempunyai perasaan dan keperluan seperti haus, lapar dan sakit. Oleh kerana binatang ternakan memiliki sifat yang sensitif dan halus perasaannya, manusia yang menguruskannya juga wajar memiliki kasih sayang dan naluri yang halus sebgai jaminan. Ciri-ciri yang ada pada Habil menyebabkan Nabi Adam mengamanahkannya mengurus dalam bidang penternakan.

Allah berfirman dalam surah al-Israa', ayat 70:

     Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami memberikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di daratan serta lautan dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah kami ciptakan."

Apabila sudah mengetahui tugas masing-masing, setiap hari setelah terbitnya matahari, keluarlah Nabi Adam dan kedua-dua anaknya iaitu Qabil dan Habil dari gua yang menjadi kediaman mereka.

     Qabil ke rimba menebas hutan dan belukar ataupun bercucuk tanam, menyemai benih dan menuai hasil yang sudah masak. Manakala Habil menuju ke padang rumput menggembala ternakannya. Nabi Adam pula berburu mencari ikan ataupun burung untuk dijadikan hidangan mereka sekeluarga. Menjelang terbenamnya matahari, mereka semua pulang ke gua dengan rezeki masing-masing.

Qabil membawa buah-buahan dan sayur-sayuran
Habil membawa susu yang menjadi minuman seharian
Ayahanda mereka pula membawa burung atau ikan yang berjaya menjadi tangkapan.
Manakala...
Hawa, Iqlima, dan Labuda
Menunggu kepulangan penuh setia
Menyambut mereka dengan senyuman bermakna
Rumah tangga terurus laksana syurga
Itulah tugas harian mereka.
Tolong-menolong menjadi rutin hariannya
Rukun dan damai satu keluarga
Bertolak ansur bekerjasama
Hidup muhibah sesama ahlinya
Menjadi santapan kebahagiaan berkeluarga.

Natijah daripada kerukunan dan kebahagiaan yang mereka kecapi bersama, Nabi Adam mengajarkan anak-anak mereka erti kesyukuran dann terhadap segala nikmat kurniaan yang dianugerahkan Allah. Kata baginda, "Wahai anak-anakku. Sesengguhnya Allah memberikan kita sekeluarga dengan nikmat kebahagiaan, kerukunan dan rezeki yang tidak pernah kunjung padam. Sebagai hamba kita perlu mensyukuri di atas segala yang diberikan. Sesungguhnya taatlah kepada segala suruhanNya dan jauhilah segala laranganNya. Nescaya kita semua beroleh ketenangan, kebahagiaan hidup untuk selama-lamanya."

     Mendengar nasihat yang dititipkan ayahanda mereka, tidak seorang pun daripada kalangan anak-anaknya yang berani membantah. Malah mereka melaksanakan apa yang diajar dan diperintahkan dengan penuh ketaatan.

Tetapi keadaan ini berubah,
Apabila beredarnya masa dan percaturan alam,
Sudah menjadi lumrah alam
Sampai waktunya inginkan pasangan.

Setelah anak-anak Nabi Adam meningkat dewasa, timbullah keinginan berumah tangga dan berkeluarga yang sememangnya menjadi fitrah semula jadi manusia.

     Lalu Allah memberikan ilham kepada Nabi Adam supaya menjodohkan anaknya yang lahir berpasangan itu secara bersilang. Ini adalah syariat yang ditetapkan Allah pada ketika itu, memndangkan jumlah manusia di bumi sangat terhad.

     Qabil anak pertama hendaklah dikahwinkan dengan Labuda, iaitu anak keempat. Manakala Habil dikahwinkan dengan Iqlima, iaitu anak kedua.

     Ini bererti Qabil dan Habil tidak boleh berkahwin dengan adik yang dilahirkan pada tahun yang sama dengan mereka. Selepas apa yang diwahyukan Allah itu disampaikan Nabi Adam kepada isteri dan anak-anak baginda, masing-masing tidak membantah dan hanya mengikut apa yang diperintahkan.

     Namun, pada masa itu Iblis mengambil peluang mengapi-apikan Qabil dengan bisikan dan tipu dayanya. Ia menghasut agar Qabil menyatakan bahawa Iqlima adalah miliknya, bukan milik Habil.

     Kata Iblis, "Qabil, kamu jangan sekali-kali tunduk kepada perintah ayahmu, kerana ia tidak adil buat kamu. Sedangkan Iqlima adalah adik kepadamu dan jauh memiliki kecantikan yang luar biasa jika dibandingkan dengan Labuda. Siapa yang akan rugi? Fikirkanlah, Qabil"

     Lantaran itu, disebabkan nafsu amarah yang membara, dengan tegas Qabil membantah segala apa yang direncanakan untuknya, "Tidak ayah, tidak! Saya tidak dapat menerima apa yang ditentukan mengenai pasangan yang akan dikahwinkan dengan saya kerana Labuda tidak secantik adik saya, Iqlima. Segala yang dirancang dan ditentukan sememangnya tidak adil sama sekali untuk saya. Sekali-kali saya tidak pernah merelakan adik saya, Iqlima dijodohkan dengan Habil."

Kerana kecantikan, Iqlima menjadi rebutan.

     Adam dan Hawa sangat sedih dan buntu memikirkan apa yang berlaku. Sedangkan pada ketika itu syariat menetapkan jodoh dan pasangan masing-masing. Adam sekali lagi tidak mahu mengingkari apa yang diwahyukan kepada mereka. Baginya cukuplah apa yang telah berlaku suatu ketika dahulu, sehingga kemurkaan Allah telah mencampakkan mereka ke alam dunia.

Lantaran itu,
Tidak mahu menggugat perdamaian kekeluargaan
Jlan penyelesaian harus direncanakan 
Kepada Allah, Adm serahkan 
Segera masalah dapat diselesaikan.

Nabi Adam menyerahkan segala keputusan kepada Allah kerana baginda tidak mahu kebahagian hidup keluarganya tergoncang sekiranya baginda masih berkeras terhadap anak-anaknya. Apatah lagi mereka sudah dewasa dan memerlukan perhatian. Pada saat-saat genting ini, Nabi Adam merasakan kebijaksanaan merupakan senjata yang mantap bagi menyelesaikan setiap permasalahan.

     Maka sekali lagi Allah memberikan ilham kepada Nabi Adam agar segala masalah dapat diselesaikan dengan cara bijaksana dan terhormat, iaitu melalui korban.

     Berkatalah Nabi Adam kepada Qabil dan Habil, " Sebagai jalan penyelesaian di atas apa yang berlaku, kamu berdua hendaklah menyerahkan korban masing-masing. Barang siapa yang korbannya diterima Allah, maka Iqlima menjadi jodohnya."

     Kedua-dua bersaudara ini menerima baik cadangan yang diatur ayah mereka. Apabila tiba waktu yang dijanjikan, berangkatlah kedua-duanya membawa korban masing-masing ke sebuah bukit dengan disaksikan ahl keluarga.

     Habil membawa seekor kambing muda yang gemuk dan paling disayanginya, sedangkan Qabil hanya membawa sekarung gandum yang paling buruk di antara hasil pertaniannya.

Nampaknya pertaruhan sudah bermula
Di atas bukit terlaksananya ia
Disaksikan seluruh ahli keluarga
Debaran kencang kian terasa.

Masing-masing berpandangan sesama sendiri dan tertanya-tanya korban siapakah yang akan diterima. Tiba-tiba, sebuah bola api turun dari langit lalu menyambar korban yang disediakan Habil. Malangnya korban yang disediakan Qabil tidak disentuh sama sekali. Melihat apa yang berlaku, kemarahan Qabil menjadi semakin memuncak. Dia mengancam untuk membunuh Habil. " Aku akan bunuh engkau agar engkau tidak boleh mengahwini saudaraku, Iqlima!"

     Tetapi dengan tenang Habil menjawab, " Sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang yang ikhlas dan bertakwa."


Bertepatan firman Allah dalam surah al-Maadiah, ayat 27:

Maksudnya: Ceritakanlah kepada mereka kisah dua anak Adam (Qabil dan Habil) mengikut kebenaran. Ketika mereka berdoa mempersembahkan korban, maka salah satu korban daripada mereka diterima dan yang lain tidak. Dia (Qabil) berkata, " Akan aku bunuh kamu." Habil menjawab. " Adapun yang diterima Allah itu hanyalah korban orang yang bertakwa."

Kemudian Nabi Adam menyampaikan berita tentang pengorbanan yang diterima mereka. Ternyata korban Habil telah diplih Allah, tetapi sebaliknya bagi korban Qabil. Ini bermakna Iqlima menjadi jodoh pilihan untuk Habil.

     Dengan perasaan yang marah, sekali lagi Qabil membantah kata-kata ayahnya dengan berkata, " Korban Habil diterima kerana ayah menyebelahinya dengan mendoakannya, tetapi sebaliknya untukku."

     Dengan tegas Nabi Adam menjelaskan kepada Qabil, " Sesungguhnya Allah menerima korban Habil kerana keikhlasan hatinya memilih yang terbaik daripada ternakannya. Sedangkan kamu memilih apa yang buruk di antara tanamanmu."

     Tetapi jawapan yang diterima Nabi Adam tidak sedikit pun menyelesaikan apa yang terbuku di jiwa Qabil. Malah, kemarahan dan dendam semakin membara dalam jiwanya terhadap adiknya, Habil.

Semenjak menerima keputusan dari langit, hati Qabil semakin tidak tenteram kerana perasaan dengki dan dendam semakin membara dalam jiwanya. Apatah lagi Iblis sentiasa mencari peluang menghasutnya agar melakukan tindakan di luar batasan.

    Qabil sering berfikir bagaimana menghancurkan saudaranya itu. "Bagaimanakah caranya untuk aku menghancurkan kau, Habil? Kau tunggulah saat dan ketikanya.. Aku akan memusnahkan kau!" bisik Qabil dalam hatinya.

     Pada suatu ketika, sebelum Nabi Adam keluar berurusan, baginda memanggil Qabil selaku saudara yang tua untuk diamanahkan tanggungjawab menggantikannya sepanjang ketiadaannya di rumah. Kata Nabi Adam, "Wahai anakku, Qabil. Ayah melepaskan tanggungjawab menjaga ibumu serta adik-adikmu sepanjang ketiadaaan ayah. Jagalah mereka dengan baik dan penuh tanggungjawab. Selaku saudara yang tua, engkaulah harapan ayah dan tempat ayah bergantung harap melaksanakan tanggungjawab atah sebagai ketua keluarga sepanjang ketiadaan ayah."

     "Baiklah ayah. Segala harapan dan tanggungjawab yang ayah amanahkan akan saya tunaikan sebaik-baiknya kerana selaku anak yang tua saya sedar tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Percayalah ayah, akan saya tunaikan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya."

     Itulah janji-janji yang ditaburkan Qabil sebelum ayahnya keluar untuk satu urusan. Mendengar jawapan itu, tenanglah jiwa Nabi Adam kerana baginda merasakan tanggugjawab yang diamanahkan itu mampu dilaksanakan Qabil sepanjang ketiadaannya nanti.

Ketika ketiadaan Nabi Adam,
Rencana jahat Qabil laksanakan
Membunuh Habil itulah impian
Segala dendam harus diselesaikan 
Agar tercapai segala tujuan.

"Kau akan kubunuh, Habil. Inilah kesempatan terbaik bagiku mambalas segala apa yang terbuku di jiwaku selama ini," bisik Habil dalam hati.

     Sebagaimana janjinya, Iblis tidak akan sekali-kali melepaskan peluang yang ada untuk menggoda ank cucu Nabi Adam agar mengikut petunjuknya. Kata Iblis, "Bunuhlah adikmu, Qabil! Bunuh! Inilah peluang yang ada dan terbaik untukmu. Sekarng pergilah dapatkan adikmu dengan segera, dan bunuhlah ia di sana. Inilah jalan yang ada untuk kamu mendapatkan hak kamu kembali, pergilah!"

    Sebaik sahaja mendengar bisikan Iblis laknatullah, Qabil segera meninggalkan kediaman dan mencari-cari Habil di ladang ternak, sedang menggembala ternakannya.

     Sesampainya Qabil di sana, Habil tanpa ada sebarang syak wasangka bertanya, "Kenapa abang nampak tergesa-gesa? Seolah-olah ada perkara penting yang perlu diselesaikan?"

     Dengan muka merah menyala dan jelingan tajam, Qabil menjawab pertanyaan adiknya dengan berkata, "Tujuan aku datang ke mari adalah untuk memenuhi segala impianku, iaitu membunuhmu! Saatnya telah tiba untukku menghapuskan kamu daripada pandangan mataku."

     "Apakah kesalahanku sehingga tergamak membunuhku? Dan apakah alasan yang kukuh untuk kamu membunuhku?" tanya Habil.

     Dengan lantang Qabil menjawab, Alasannya, kerana korban kamu diterima Allah, sedangkan korban aku ditolak. Ini bermakna aku tidak lagi berpeluang mengahwini adikku sendiri, iaitu Iqlima. Sedangkan Labuda yang bukan pilihanku akan menjadi pasanganku dan akan hidup bersama denganku. Ketetapan itu mustahil bagiku menerimanya dengan begitu sahaja!"

     Habil membalas, "Bukankah abang telah bersetuju menerima cadangan di atas penerimaan Allah terhadap korban masing-masing? Abang, ingatlah Allah. Jangan ikutkan segala hasutan syaitan yang menyesatkan. Sesungguhnya segala apa yang ditentukan mempunyai hikmah yang tidak pernah kita fikirkan. Ingatlah Allah, abang."

Segala nasihat yang diberikan Habil tidak sedikit pun menyentuh naluri dan perasaan Qabil untuk mearik semula segala keinginan dan dendamnya. Bahkan api kemarahan yang sedia ada semakin membara dan menyala.

     "Tidak Habil, tidak! Sekali-kali aku tidak akan menarik semula keinginanku untuk membunuh dan menghancurkan kamu dengan tangan ku sendiri! Kerana aku merasakan dengan cara membunuh kamu sahaja segala hajat dan impianku memiliki Iqlima akan tercapai!" bentak Qabil dengan marah. Pada saat iyu juga datanglah Iblis membisikkan kata-kata kepada Qabil yang menyebabkan api kemarahan Qabil semakin membuak-buak.

     Melihat perlakuan Qabil yang tidak berubah dan perasaan marah semakin membuak-buak, Habil dengan tenang berkata kepada abangnya, "Jika kamu berkeras mahu membunuhku silakanlah kerana ku tidak akan mengangkat tanganku untuk membalasnya."

Allah berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 8:

     Maksudnya: "Jika engkau menggerakkan tanganmu untuk  membunuhku , aku tidak akan menggerakkan tanganku untuk membunuhmu. Aku takut sekali dengan Allah, Tuhan semesta alam. "

Pada ketika itu...
Api kemarahan semakin menyala
Tak kenal rakan atau saudara
Belas ihsan sedikit pun tiada 
Telunjuk Iblis menjadi ikutannya.

Iblis pada ketika itu menunjukkan cara untuk membunuh Habil, dengan mengambil batu dan menghentak-hentakkan kepalanya. Lantas idea dan petunjuk yang ada menjadi jalan terbaik Qabil melaksanakan segala hajatnya. Lalu,

Batu diangkat ke arah kepala
Berlinangan darah merah menyala
Mengalir bak sungai persisnya
Terbujur kaku insan tak berdosa.

Habil tidak berbuat apa-apa. Setelah batu yang dicampakkan Qabil tepat mengenai kepalanya, Habil mejerit kesakitan. Pandangannya menjadi kabur perlahan-lahan dan badannya terus jatuh tersungkur menyembah bumi. Habil menggeletar menahan kesakitan. Darah merah mengalir seluruh anggota badan, dan itulah darah manusia yang pertama mengalir membasahi bumi.
 
     Melihat kesakitan dan jeritan Habil yang menyayat hati, apatah lagi Iblis melihat itulah darah manusia yang pertama ditumpahkan, ini bererti segala rancangannya melihat kehancuran anak-anak Adam sudah berjaya. Lantas Iblis bersorak kegembiraan kerana usahanya yang tidak pernah mengenal erti jemu itu berhasil. Lalu Iblis laknatullah berlalu meninggalkan kedua-dua saudara itu.

     Dalam keadaan dan situasi yang tidak pernah dihadapinya itu, Qabil terpinga-pinga dan menggigil ketakutan kerana tidak pernah menyaksikan keadaan di mana saat-saat akhir seorang manusia menghadapi sakaratul maut. Apatah lagi yang dilihatnya kini adalah saudaranya sendiri.

     Lalu, Qabil mula berasa menyesal. Dia menyalahkan dirinya dan merasakan segala tindakan yang dilakukan terhadap adiknya terlalu kejam, tetapi segalanya sudah terlambat. Nafas Habil dilihatnya semakin perlahan. Akhirnya seluruh gerak-geri Habil terhenti. Lalu Habil menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan saudranya, Qabil.

     Melihat situasi itu, Qabil menjadi bingung lantas dia merebahkan badannya di sisi adiknya yang sudah kaku dan tak bernyawa lagi. Qabil menangis sepuas-puasnya di sisi mayat adiknya.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 30:

     Maksudnya: "Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya sehingga dia tergamak membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu jadilah dia daripada golongan orang yang rugi."

"Habil! Habil! Habil! Janganlah kau tinggalkan aku! Aku yang bersalah di atas apa yang berlaku. Maafkanlah diriku. Ampunilah segala dosa dan keterlanjuranku terhadapmu. Aku menyesal! Aku menyesal!"

     Kasihan Qabil. Segala penyesalan tidak dapat mengembalikan nyawa adiknya yang telah tiada.

     Pada ketika itu juga, Qabil puas memikirkan cara untuk mengebumikan mayat Habil yang terbujur kaku. Ketika dia mundar-mandir dan berlari ke sana ke mari membawa mayat Habil, Allah mengutuskan dua ekor burung gagak , berterbangan dan seterusnya bergaduh sesama sendiri. Dalam pergelutan itu, salah seekor daripadanya mati. Salah seekor yang masih hidup menggali lubang menggunakan paruh dan kakinya. Lalu melemparkan gagak yang telah mati ke dalam ubang yang siap digali.

     Melihat perlakuan gagak itu, Qabil mendapat akal bagaimana untuk mengebumikan mayat saudaranya, Habil. "Alangkah bodohnya aku. Seekor gagak yang tidak berakal dapat memikirkan cara mengebumikan saudaranya. Aku yang mempunyai akal tidak dapat memikirkannya."

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 31:

Maksudnya: Kemudian Allah memerintahkan seekor burung gagak menggali lubang di tanah untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil, "Aduhai, celaka aku. Mengapa aku tidak berbuat sebagaimana burung gagak itu, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" Kerana itu jadilah dia seorang yang menyesal. 

Melalui ilham yang diperoleh, Qabil mencuba sedaya upaya degan tenaga yang ada menggali lubang untuk menguburkan mayat saudaranya. Qabil juga khuatir apa yang telah dilakukannya dapat diketahui ayah, ibu dan saudaranya yang lain.

Setelah berjaya lubang digali
Ditimbuskan Habil ke dalam bumi
Betapa penyesalan bersarang di hati
Semuanya sudah terlambat kini. 

Sebenarnya kematian Habil ini juga merupakan sejarah pertama kematian di alam maya ini.

      Setelah segalanya selesai, Qabil seperti biasa kembali ke gua kediaman mereka, tanpa memberitahu sesiapa apa yang telah berlaku. Apabila Nabi Adam pulang daripada berurusan, baginda merasakan ada sesuatu yang tidak kena kepada keluarganya. Apatah lagi semenjak pulang, baginda tidak nampak kelibat Habil.

     Lantas Nabi Adam bertanya kepada Qabil, "Wahai anakku, Qabil. Semenjak ayah pulang, ayah belum lagi melihat adikmu, Habil. Adakah kamu ternampak atau mengetahui di mana adikmu berada?"

     Qabil lantas menjawab, "Entah, aku tidak tahu dia ke mana dan sekarang dia berada di mana. Aku bukan budak suruhan yang sentiasa mengikut telunjuknya dan mengambil tahu ke mana dan di mana dia pergi."

     Melihat perubahan sikap dan jawapan kasar Qabil, Nabi Adam merasakan ada sesuatu yang tidak elok telah berlaku. "Apakah yang telah berlaku terhadap anak-anakku?"
bisik hati Nabi Adam.

     Segala persoalan yang ada di kotak fikiran Nabi Adam terjawab apabila mayat Habil ditemui.

     Ternyata Qabil yang diharap-harapkan sebagai saudara yang tua, menjaga dan bertanggungjawab pada keluarga, sanggup memusnahkan kepercayaan yang telah diberikan.

     Apa yang telah berlaku cukup dikesalkan. Qabil sanggup bertindak kejam kepada saudara sendiri, lantas memutuskan ikatan persaudaraan dengan mengikut telunjuk syaitan.

     Dalam menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berserah kepada Allah dengan memohon keampunan buat dirinya dan anaknya Qabil. "Ya Allah, ampunkanlah hamba dan anak hamba Qabil, di atas segala kelalaian dan kesalahan yang dilakukan. Kurniakanlah kepada kami kesabaran dan keteguhan iman dalam menghadapi cubaan yang mendatang. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran yang amat berguna buat kami sekeluarga dalam menempuh hari-hari yang mendatang."

     Kematian Habil yang meruakan anak yang soleh, bertakwa dan berbakti kepada orang tua menjadi satu tamparan hebat di jiwa Nabi Adam sehingga Ibnu Jarir menggambarkan kesedihan itu dalam sebuah syair:

Dunia berubah bersama penduduknya
Wajah bumi menjadi buruk
Segala hal yang punya warna dan rasa jadi berubah
Tinggal sedikit sahaja kecantikan dan keelokannya.
Abu Qabil telah membunuh semuanya
Abu Qabil telah membunuh semuanya
Orang hidup menjadi seperti orang mati yang dipenggal
Kehadiran seseorang menjadi sebahagian daripadanya
Dalam keadaan ketakutan
Dia berteriak-teriak ketika didatanginya.     

Iman Mujahid berkata semenjak membunuh saudaranya, Habil, Qabil terus menerima seksaan. Betisnya terikat ke bahagian pahanya. Wajahnya mendongak menentang matahari. Ke mana sahaja bergerak, dia terbelenggu dalam keadaan seperti itu akibat dosa-dosa yang telah dilakukan, khususnya penganiayaan dan kedengkian yang telah dilakukan terhadap saudaranya sendiri, iaitu Habil serta ayahnya yang wajib ditaati.

     Rasulullah bersabda, "Tiada suatu dosa yang disegerakan seksaannya oleh Allah sewaktu di dunia, selain menjadi simpanan bagi pelakunya di akhirat, melebihi penganiayaan dan permutusan hubungan kekeluargaan."

     Selepas kematian Habil, Allah masih lagi mengurniakan Nabi Adam dan Hawa zuriat keturunan. Abu Ja'far bin Jarir dalam riwayatnya menyatakan, Hawa melahirkan anak-anak Adam seramai 40 orang dengan 20 kali kehamilan. Ada juga yang menyatakan Hawa hamil sebanyak 120 kali, dan pada setiap kehamilan itu, Hawa melahirkan sepasang anak, lelaki dan perempuan.

     Di antaranya ialah Abdul Mughits bersama kembarnya, Ummul Mughtis, sebagai generasi pertama. Selain itu, Nabi Adam juga mempunyai anak bernama Syith, yang akhirnya diangkat menjadi nabi. Kepada Syithlah Nabi Adam mengajar tentang kebesaran Allah dan cara-cara untuk beribadah kepadanya.

     Kemudian Syith dikurniakan anak bernama Anausy. Daripada keturunan Anausy telah dikurniakan anak bernama Qaynan. Seterusnya berturutanlah kelahiran anak-anak Adam sehingga sampai ke generasi Nuh. Daripada Nuh pula dikurniakan anak-anak sehinggalah sampai ke generasi sekarang yang berkembang biak mewarnai serata alam.

     Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nisa, ayat 1:

Maksudya: "Wahai manusia! Bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri dan menciptakan isterinya dan daripada kedua-duanya Allah mengembangkan biakkan lelaki dan perempuan dalam jumlah banyak."

Maka, golongan lelaki dan perempuan diciptakan Allah sebagai berpasang-pasangan da mempunyai kecenderungan antara satu sama lain. Dijadikan Allah sebagai dua insan yang saling memerlukan sehingga ke hari kiamat, melalui saluran yang telah ditetapkan. 
 

No comments:

Post a Comment