Saturday 4 February 2012

KISAH NABI ADAM DAN HAWA

ADAM...
Manusia pertama Allah ciptakan
Nabi pertama yang diutuskan
Nenek moyang yang diutuskan
Dari tanah asal kejadian

Sebelum Allah menjadikan Nabi Adam, terlebih dahulu Allah memaklumkan kepada semua malaikat, "Aku akan menciptakan manusia sebagai khalifah dan pentadbir di muka bumi ini."
     Sejajar dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 30:
     
     Maksudnya: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, " Sesengguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini."
Pada ketika itulah malaikat bertanya, "Apakah manusia yang engkau ciptakan itu nanti untuk mengatur bumi dan tidakkah manusia itu nanti akan merosakkan bumi dan menumpahkan darah serta berbunuh-bunuhan?"

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 30:

     Maksudnya: Mereka (yakni malaikat) bertanya, "Adakah Engkau, ya Tuhan kami hendak menjadikan di bumi ini orang yang akan membuat bencan dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan). Padahal kami sentiasa bertasbih memiji-Mu dan menyucikanMu?"

Lalu Allah berfirman, "Aku lebih mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui."

Terjawab sudah segala persoalan 
Jawapan pendek penuh pengertian
Membenarkan apa yang diperkatakan
Kekuasaan Allah tiada bandingan.

Hari dijanjikan telah dilaksanakan
Tercipta sudah insan pilihan
Tanah liat yang kering asal kejadian
Ditiupkan roh dikurniakan perasaan.


Dengan bermulanya episod penciptaan Adam alaihissalam, bermulalah kehidupan manusia di muka bumi ini.

Apabila Adam dihidupkan, Allah memerintahkan para malaikat, Iblis dan semua penghuni syurga sujud kepada Adam. Sujud sebagai tanda kemuliaan dan penghormatan kepada penciptaan Adam. bukan bertujuan menyembahnya, kerana yang berhak disembah hanyalah Allah S.W.T.

Mata dibuka, badan digerakkan
Alangkah indah mata memandang
Pandangan pertama yang mengasyikkan
Pohon-pohon rendang menjadi santapan
Buah-buahan masak ranum sangat melazatkan
Sungai mengalir penuh ketenangan
Bunga-bungaan harum kembang di taman
Kenikmatan syurga yang tiada bandingan.

Dengan pandangan pertama yang memukau jiwa dan perasaan Nabi Adam alaihissalam, kalimat pertama adalah memanjatkan pujian ke hadrat Allah. Kalimat "Alhamdulillahi Rabbil Alamin" (segala pujian bagi hadrat Allah yang mengatur seluruh alam).

     Apabila mendengar kalimat pertama yang keluar dari mulut Adam memuji keagungan Allah, para malaikat berasa amat kagum dengannya. Serentak dengan itu malaikat menjawab, "Yarhamukallah, ya Adam," (Allah selalu menumpahkan rahmatNya kepada engkau, ya Adam dan selamatlah).

     Lalu pada ketika itu, Allah memerintahkan malaikat dan Iblis bersujud kepada Adam. Malaikat berdiri dan beratur mengelilingi Adam dan bersujud kepadanya sebagai tanda penghormatan, kerana Adam memiliki kelebihan iaitu ilmu dan akal yang tidak dimiliki para malaikat. Tetapi, sebaliknya berlaku dengan Iblis. Iblis enggan sujud kepada Adam kerana dia merasakan kejadiannya daripada api adalah lebih hebat dan mulia daripada Adam yang hanya dijadikan daripada tanah.

Rasa takbur dan angkuh Iblis sematkan
Rasa kesombongan melebihi ketaatan
Ingkar segala perintah Allah
Merasakan diri hebat tiada tandingan.

Dengan keengganan Iblis sujud kepada Adam, Allah menjadi murka dan mengusirnya keluar dari syurga dengan penuh kehinaan. Tetapi Iblis merayu kepada Allah agar dipanjangkan usia hingga ke hari kehancuran (kiamat), bertujuan memberi kesempatan untuknya menghasut keturunan Adam, supaya dia dapat membawa manusia-manusia yang ingkar bersamanya ke neraka jahanam.

     Allah telah memperkenankan permintaan Iblis, lalu Allah berfirman dalam surah al-Araaf ayat 18:

     Maksudnya: "Keluarlah kamu dari syurga ini dengan penuh kehinaan, tidak akan sekali-kali kamu mendapat rahmat-Ku dan aku bersumpah akan memenuhi neraka jahanam dengan kamu dan mereka yang mengikut telunjuk kamu."

Begitulah murkanya Allah kepada Iblis. Semenjak itulah Iblis menyemai bibit-bibit kebencian dan memusuhi Adam. Ia berjanji akan menjadikan Adam dan keturunannya terpesong dan akan sentiasa berada di bawah telunjuknya sehingga ke hari kiamat. Bahkan Iblis berasa sangat gembira dan berpesta seandainya Adam dan keturunannya mengikut segala bisikan dan hasutannya. Itulah ikrar Iblis kepada dirinya dalam usaha memusnahkan Adam dan keturunannya supaya dapat bersamanya sebagai penghuni neraka jahanam.

Di syurga Adam ditempatkan
Tempatnya nikmat tiada bandingan
Terlaksana hajat serta keinginan
Semua kehendak pasti ditunaikan.

Walaupun Nabi Adam ditempatkan Allah di syurga yang penuh dengan kenikmatan, tetapi baginda tetap kesunyian kerana tiada teman di sisi, penghibur hati dan pengubat di kala sepi.

     Maka pada suatu hari tatkala Nabi Adam termenung seorang diri, baginda terpandang dua ekor burung berterbangan dan berkicau riang. Pada ketika itu terdetiklah di hati Nabi Adam, "Alangkah bahagianya mereka, ada pasangan sebagai teman bergembira."

Sudah menjadi lumrah alam
Setiap yang hidup inginkan pasangan.

Bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum, ayat 21:
     
     Maksudnya: "Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menjadikan isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya."

Allah Maha Mengetahui, Allah mengetahui segala kegelisihan yang bertakhta di jiwa Nabi Adam. Lalu, semasa Nabi Adam sedang tidur,

Malaikat Jibrail telah diutuskan
Mencabut tulang rusuk Adam di sebelah kirinya
Terciptalah wanita yang sempurna
Peneman Nabi Adam buat selamanya.
HAWA...
Indahnya nama berwajah jelita
Manusia kedua telah dicipta
Pengubat sepi penglipur lara
Pendamping setia suami tercinta.

Tujuan penciptaan Hawa adalah bagi menyempurnakan kekurangan dan kesepian hidup Nabi Adam. Juga dengan adanya Hawa, dapat meramaikan makhluk di muka bumi bagi membentuk sejarah kebudayaan serta mengembangkan keturunan menjadi lebih besar.

     Setelah Nabi Adam terjaga dari tidur, baginda terkejut apabila terpandang seorang yang sungguh jelita yang pernah ditemuinya sebelum ini. Dengan seribu satu persoalan yang masih terbuku di kalbu, Nabi Adam mempersilakan insan yang baru dikenalinya duduk di sisinya. Lalu tanpa segan-silu dan ragu-ragu bertanyalah baginda kepada insan itu, "Siapakah kamu, dan apakah namamu?"

     Wanita itu pun menjawab, "Aku adalah wanita, temanmu. Dan aku sendiri tidak mengetahui siapakah namaku."

     Berputik kegenbiraan di hati Adam, kerana baginda merasakan kini hidupnya tidak lagi kesunyian kerana ada pendamping di kala kesepian, tempat berhibur dan juga melepaskan perasaan.

HAWA ituah nama gelaran
Diberikan Adam buat yang tersayang...
Pandangan pertama membuat Adam tergoda.
Jalinan cinta mula berbunga, maka berbahagialah mereka di syurga...
Sebagai pelengkap kehidupan,
Adam dikahwinkan dengan Hawa disaksikan Allah,
Para malaikat dan sekalian penghuni syurga.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 35:

     Maksudnya: "Hai Adam, tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga ini."

Semanjak itu, kedua-duanya merasai nikmat kebahagian yang tidak terperi. Dikelilingi seribu kenikmatan yang tak pernah kehabisan. Apa sahaja keinginan akan dipenuhi, tiada halangan yang merentangi kehidupan. Tidak pernah merasai sedikit pun kesusahan dan penderitaan. Tiada siapa pun menjadi batu penghalang yang boleh menggugat kedamaian dan kebahagiaan dalam kehidupan mereka.

Dalam diulit kebahagian itu, tiba-tiba Allah mengingatkan Nabi Adam dengan berfirman dalam surah ar-A'raaf, ayat 19:

     Maksudnya: "Wahai Adam. Tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga serta makanlah oleh kamu berdua buah-buahan di mana kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon itu, lalu jadilah kamu berdua termasuk orang yang zalim."

Nikmat di syurga memang dirasai
Pelbagai hidangan lazat tidak terperi
Cuma satu harus dijauhi
Buah Khuldi itulah tegahan Ilahi.
TETAPI...
Iblis durjana berasa iri hati
Di atas nikmat yang Adam kecapi
Adam dan Hawa harus digodai
Agar tersungkur menyembah bumi.

Setelah mengetahui buah Khuldi adalah satu-satunya larangan yang menjadi tegahan di dalam syurga, maka Iblis mula mencari dan merencana idea jahat agar kedua-duanya termakan hasutannya. Iblis pasti mereka berdua akan diusir keluar dari syurga sepertimana yang pernah berlaku ke atas dirinya. Iblis merasakan dendam yang terpendam selama ini akan terbalas.

     "Aku akan menghancurkan kalian berdua. Tunggulah pembalasannya agar engkau menyedari siapa yang lebih berkuasa." Begitulah nekad dan dendam yang tertanam dalam jiwa Iblis laknatullah.

     Allah merakamkan sumpah iblis ini sebagaimana yang termaktub dalam surah al-A'raaf, ayat 21:

     Maksudnya: Sesungguhnya aku akan memberi nasihat kepadamu...

Sejak itu Iblis berterusan memujuk dan merayu Nabi Adam dan Hawa supaya mengikut telunjuknya.

     Kata Iblis kepada Adam, "Mahukah engkau aku tunjukkan sepohon pokok, jika engkau memakannya, nescaya kamu akan kekal di dalam syurga dan akan berterusan berada dalam kerajaan yang tidak pernah mengalami keruntuhan?"

Ajakan ini adalah sebahagian tipu daya Iblis untuk menyesatkan Nabi Adam. Allah menerangkannya dalam surah Thaha, ayat 120:

     Maksudnya: "Lalu syaitan membisikkan kejahatan kepadanya seraya berkata, "Wahai Adam! Mahukah kamu aku tunjukkan pohon Khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?"

Walaupun pujukan pertama dengan menghasut Adam agar memakan buah larangan tidak berjaya, namun Iblis tetap tidak berputus asa untuk terus menggodanya. Baginya tidak pernah ada dalam kamus hidupnya erti kegagalan dan putus asa. Lalu dipujuknya lagi kali kedua dan seterusnya, namun melalui Adam segala rancangannya tidak berjaya.

     "Aku harus memikirkan cara yang lebih baik, bagaimana untuk menghapuskan mereka," bisik Iblis.

     Akhirnya Iblis mendapat satu akal. "Aku akan cuba memperdayakan mereka melalui isterinya, Hawa. Mungkin sifat dan watak lemah lembutnya dapat menjadi senjata bagiku menghancurkan kedua-duanya."

     Lalu, pada suatu hari Iblis mendapatkan Hawa dan berkata, "Wahai Hawa, makanlah buah Khuldi yang dilarang Allah bersama Adam, nescaya kamu beroleh kesenangan dan menjadi seperti malaikat dan akan terus kekal di dalam syurga untuk selama-lamanya. Larangan Allah buat kamu berdua hanyalah kiasan semata-mata. Bukan bermaksud Allah melarang secara mutlak kerana aku bersumpah bahawa sesungguhnya aku mengetahui segala percaturan yang Allah rencanakan buat kamu berdua. Percayalah kata-kataku jika kamu dan suamimu ingin terus kekal di dalam syurga yang kamu diami ini dan makanlah buah Khuldi yang menjadi tegahan untukmu."

AKHIRNYA...
Pujukan Iblis mengenai sasarannya
Hawa terpedaya dengan hasutannya
Dipujuk Adam untuk bersamanya
Memakan buah Khuldi itulah permintaannya.
Apabila kedua-duanya memakan buah yang menjadi satu-satunya larangan Allah itu...

TIBA-TIBA!

Terbuka luas mata mereka dan ternganga mulut kedua-duanya dan pakaian mereka yang indah menutupi anggota tubuh terlucut satu per satu.

Mula-mula yang terlihat adalah auratnya (kemaluannya). Apabila Adam mendapati auratnya terdedah, baginda kebingungan.

Allah berfirman dalam surah al-A'raaf, ayat 22:

     Maksudnya: "Maka syaitan memujuk keduanya supaya memakan pohon itu dengan tipu daya. Apabila kedua-duanya memakan buah pohon itu, maka kelihatanlah aurat mereka. Mereka tergesa-gesa menutup aurat masing-masing dengan daun-daun syurga."

Tetapi malangnya, setiap kali berusaha untuk menutupinya, terlepas juga daun-daun itu daripada badan mereka.

     Sambil menangis, Adam berpaling kepada Hawa seraya berkata, "Kenapakah kita berdua terpengaruh dengan pujukan Iblis yang ternyata cuba menyesatkan kita dan melanggar segala arahan dan larangan Allah untuk kita berdua? Dan sesungguhnya kita telah menganiayai diri kita sendiri."

     Lalu Hawa menjawab, "Wahai Adam, selamanya aku tidak pernah menyangka ada makhluk yang berani bersumpah palsu kepada Allah."

     Ketika itu Allah berseru kepada kedua-duanya, "Wahai Adam! Kenapa engkau mendekati pohon itu dan lari daripada Ku?"

     Mendengar pertanyaan daripada Tuhannya, dengan perasaan sedih dan malu Adam menjawab, "Bukan aku lari daripada-Mu, ya Tuhanku. Tetapi aku sangat malu kepada-Mu kerana aku telah menodai kepercayaan dan melanggar segala arahan dan laranganMu. Sesungguhnya kami telah berlaku zalim dan menganiayai diri kami sendiri. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah kesalahan dan dosa-dosa kami."

     Allah berfirman dalam surah al-A'raaf, ayat 22-23:

     Maksudnya: Tuhan berseru kepada mereka berdua, "Bukankah Aku telah melarang kamu mendekati pohon itu dan Aku katakan kepada kamu sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata." Adam dan Hawa berkata, "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah menganiayai diri sendiri, kalau Tuhan kami tidak mengampuni dan menyayangi kami, nescaya kami termasuk golongan yang rugi."

Adam dan Hawa merayu kepada Allah agar mereka mengampuni segala kesalahan dan kelalaian yang mereka lakukan, tetapi segalanya sudah terlambat.

     Dengan nada marah Allah berfirman kepada Adam dengan mengatakan bahawa dia telah memberikan tempat untuk Nabi Adam dan isterinya, Hawa di syurga yang penuh dengan segala bentuk nikmat. Cuma satu sahaja yang menjadi larangan iaitu memakan buah Khuldi. Tetapi, ternyata buah itu yang lebih menjadi keinginannya berbanding isi lain yang berada di syurga.

     Apabila mendengar firman Allah itu, Nabi Adam berasa amat sedih. Air mata baginda dan isterinya jatuh tanpa henti. Nabi Adam menyatakan di hadapan Allah bahawa sekali-kali baginda tidak menyangka bahawa Iblis sanggup menipu dan memperdayakan dirinya dengan bersumpah atas nama Allah.

     Pada ketika itu Allah memberikan wahyu kepada dua malaikat, "Keluarkanlah Adam dan Hawa dari sisiku, kerana mereka telah menderhakaiKu."

     Mendengar perintah Allah, tanpa sebarang bantahan malaikat Jibrail mendapatkan Adam dan melepaskan mahkota yang bertakhta di kepala Adam, manakala malaikat Mikail melepaskan mahkota yang melekat di keningnya. Bermula detik itu, berakhirlah segala kesenangan dan kenikmatan yang menjadi titik permulaan Adam dan Hawa di awal kehidupannya.

     Pada ketika itu, Allah memutuskan Nabi Adam dan isterinya, Hawa harus meninggalkan syurga. Mereka akan diturunkan ke bumi. Di bumi mereka akan bersusah payah dengan mencurahkan keringat dan mengorbankan segalanya bagi mencari titik kesenangan dan meneruskan kesinambungan hidup mereka.

     Allah berfirman kepada mereka, surah al-A'raaf ayat 24:

     Maksudnya: "Turunlah kamu ke bumi, sebahagian daripada kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Kamu akan tinggal tetap dan hidup di sana sehinggalah tibanya waktu yang ditetapkan."

Mendengar firman Allah itu, maka berlinanganlah air mata Nabi Adam dan Hawa. Perasaan sedih bercampur takut bersatu dalam jiwa kedua-duanya. Nabi Adam dan Hawa duduk bersimpuh sambil menundukkan kepala memohon keampunan Allah.

Berdoalah keduanya ke hadrat Ilahi,
Tuhanku, aku tidak layak
Masuk syurgamu
Namun tak upaya menanggung azab nerakamu
Oleh itu, ya Tuhan. Ampunkan dosaku
Sesungguhnya Engkau maha pengampun
Segala dosa-dosa besar,
Sesungguhnya Adam dan Hawa berasa lega
Taubat mereka telah diterima
Takdir Allah tidak dijangka
Berkelanalah mereka ke alam dunia,
Cylon Adam ditempatkan
Juddah pula Hawa diturunkan
Bertahun berpisah
Bersua akhirnya di Jabbal Rahmah.

Diriwayatkan, Nabi Adam menangis mengenangkan kesalahan yang dilakukan selama seratus tahun. Sehinggakan air matanya yang membasahi bumi menumbuhkan rumput-rumput dan pohon-pohon serta menggenangi ceruk-ceruk yang berbatu menjadi minuman burung-burung. Begitulah hebatnya penyesalan dalam jiwa Nabi Adam.

Air mata penyesalan mengalir berlinangan
Larangan Allah telah dilakukan
Mengenang kesalahan
Pujukan Iblis telah membinasakan
Seluruh kehidupan yang pernah dirasakan
Semenjak itu, bermulalah episod baru dalam kehidupan Adam dan Hawa.

Di alam dunia, segalanya pengalaman baru buat mereka. Tetapi, mereka menyedari bahawa mereka harus berusaha bagi meneruskan hidup. Sesungguhnya bagi kedua-duanya kehidupan di syurga memang jauh bezanya dengan kehidupan yang mereka tempuhi kini. Tetapi walau apa jua rintangan yang menghalang, kedua-duanya tetap berusaha menempuhinya dengan semangat, keimanan dan ketakwaan yang tiada penghujungnya.

No comments:

Post a Comment